KOTA KINABALU: Isu beras plastik yang tular dalam sebuah video dipercayai berlaku di daerah Sandakan, berada dalam pengetahuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pemangku Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota penguat kuasa untuk melaksanakan siasatan berkaitan kes terbabit.
Menurutnya, beliau juga akan meneliti perkara itu kerana menyifatkan penjualan beras plastik tidak sepatutnya berlaku ekoran ia membabitkan isu kesihatan pengguna.
“Saya mengambil maklum tentang insiden (jualan beras plastik) yang (didakwa) berlaku dan sudah mengarahkan siasatan diadakan serta-merta.
“Penelitian dibuat melalui KPDN Cawangan Sandakan dan siasatan sedang dilakukan bersama Bahagian Kawalselia Padi dan Beras mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Pelindungan Pengguna.
“Premis yang didakwa menjual beras plastik seperti dalam video tular juga sudah dilawati dan kita sedang mendapatkan maklumat tambahan daripada pengadu yang mentularkan video terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pegawai Teknikal Contract of Service (CoS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas berkata, tindakan tegas bakal dikenakan ke atas pihak berkaitan sekiranya dakwaan yang tular itu adalah benar.
Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 20 saat menjadi tular pagi ini dengan memperlihatkan seorang lelaki mendakwa beras yang dijual di salah sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras plastik.