comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Isu bekalan telur kurang, harga ayam mula melonjak sukar ditangani segera’ – Annuar

Annuar (kiri) melawat jualan ayam selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Peringat, di sini, hari ini.

KOTA BHARU : Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi mengakui tidak dapat mengambil tindakan segera berhubung isu kekurangan bekalan telur serta peningkatan harga ayam sejak kebelakangan ini, berikutan kedudukan kerajaan sementara sekarang.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, ketika mengakui situasi itu, berkata ada kebimbangan kekurangan barangan tertentu dan pihaknya mendapati tekanan harga ayam juga mula meningkat melepasi harga siling.

“Kita tidak dapat menangani masalah ini dengan segera dalam ‘caretaker goverment’. Justeru, kita memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menambahkan lagi masalah, terutama dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Kerajaan juga sudah meluluskan tambahan kuota minyak masak subsidi sebanyak 5,000 metrik tan bagi menangani kekurangan bekalan minyak terutama di musim tengkujuh.

“Kita juga meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau bekalan minyak memandangkan kuota sudah ditambah,” katanya selepas melawat Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) dekat Peringat, hari ini.

Mengulas mengenai PJMKM, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata sehingga kini jualan berkenaan sudah mencapai 95 peratus membabitkan hampir 600 premis.

Katanya, jualan murah di kampus juga sudah dimulakan sejak bulan lalu sekali gus PJMKM setakat ini berjalan lancar.

“Apa yang saya nak tekankan supaya semua premis mematuhi format yang kita tetapkan termasuk pemakluman secara meluas kepada masyarakat setempat, menaikkan banting selain hebahan menerusi radio tempatan, katanya. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini