KLANG: Sesi libat urus yang lebih teliti membabitkan semua pemegang taruh industri, perlu dilaksanakan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan beras tempatan dan harga belian padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan kini sedang mengenal pasti situasi menang-menang membabitkan semua pihak berhubung isu berkenaan.
Justeru katanya, kementerian memerlukan sedikit masa lagi sebelum satu penyelesaian tuntas dapat diumumkan kepada semua pihak.
“Bagi kami, kepentingan pengguna, petani, pengilang dan pengedar semua ini perlu dijaga kerana mereka ada peranan masing-masing sebab itu kita sedang buat libat urus dengan lebih panjang.
“Kita juga akan berbincang dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan persetujuan beliau kita akan buat perubahan yang diperlukan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Nasional Amanah 2024, hari ini.
Mohamad berkata, perbincangan bersama Perdana Menteri itu akan dimulakan seawal minggu pertama persidangan Parlimen tahun ini.
Katanya, beliau juga bersedia menjawab segala persoalan yang timbul berkenaan isu beras tempatan dan padi pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan awal Februari ini.
“Kita akan cuba mencari jalan untuk memuaskan semua pihak, kalau tuntutan padi sebagai contoh, harga sepatutnya ditetapkan setakat mana, bagaimana jika berlaku kenaikan harga beras, bagaimana dengan B40, semua ini akan dibincangkan bersama NACCOL,” katanya.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-15 akan bersidang selama 18 hari mulai 3 Februari hingga 6 Mac nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.