Tumpuan :
Nasional

Isu bayi ‘ditahan’: MAIS tidak terima aduan

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. – Foto: NSTP

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesahkan tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan jenazah seorang bayi lelaki ‘ditahan’ selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) kini sedang mengesan ibu bapa bayi tersebut bagi memberikan bantuan yang diperlukan.

“Sehingga kini, MAIS termasuk LZS dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) tidak menerima sebarang aduan rasmi.

“Kejadian ini hanya diketahui melalui laporan media. Tiada pihak datang ke LZS untuk melaporkan kesulitan yang dihadapi. Kami juga masih tidak mengetahui identiti ibu bapa atau nama arwah bayi berkenaan,” katanya selepas melepaskan Konvoi Bantuan Banjir MAIS ke Kelantan, Terengganu, dan Kedah di sini hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menggesa mufti negeri-negeri mengeluarkan pandangan umum berhubung isu berkaitan hukum, termasuk hukum syarak mengenai penyimpanan dan pembekuan jenazah.

Terdahulu, tular di media sosial seorang bayi lelaki yang dinamakan Adham, ditahan pihak hospital kerana ibu bapanya didakwa gagal membayar bil hospital.

Bayi itu meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan dalam keadaan tidak sempurna pada 24 November sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Selatan Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Tan Sri Abdul Aziz menegaskan setiap negeri mempunyai pusat zakat yang bersedia membantu umat Islam yang menghadapi kesukaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini