Tumpuan :
Nasional

Isu Batu Puteh: Peguam Negara disyor nyahklasifikasi laporan akhir Pasukan Petugas Khas

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Peguam Negara dicadang supaya menyahklasifikasikan laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jemaah Menteri pada hari ini telah membuat keputusan untuk mencadangkan kepada Peguam Negara untuk pertimbang menyahklasifikasikan laporan akhir Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Ini adalah dua dokumen berbeza, yang telah dibentangkan dalam Parlimen adalah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

“Dalam laporan RCI itu ada juga merujuk kepada satu laporan Pasukan Petugas Khas Batu Puteh,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, laporan akhir Pasukan Petugas Khas yang dinyahklasifikasi itu akan bersifat penuh kecuali perkara berkaitan isu diplomasi, keselamatan dan pertahanan negara.

Mengulas lanjut, menurut Fahmi, laporan akhir Pasukan Petugas Khas itu berkisarkan hasil siasatan pasukan berkenaan yang ditubuhkan pada 29 Oktober 2021.

Jelasnya, laporan tersebut dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 7 Oktober 2022.

“Laporan terbabit dimulakan sewaktu zaman pemerintahan Perdana Menteri kesembilan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) di mana Yang Berhormat (Ahli Parlimen) Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan), Yang Berhormat Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan Yang Berhormat Putrajaya (Datuk Dr Radzi Jidin) adalah dalam kalangan ahli Jemaah Menteri pada ketika itu.

“Dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, dimaklumkan bahawa hasil laporan bagi Pasukan Petugas Khas adalah sama dengan syor yang dikemukakan dalam RCI Batu Puteh, bermaksud dari satu sudut, kedua-duanya mendapati perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata, laporan Pasukan Petugas Khas terbabit mengesyorkan supaya ada pendakwaan berdasarkan pengabaian tugas oleh seorang pegawai awam dan ia juga sama seperti disyorkan oleh laporan RCI.

“Jadi untuk Yasng Berhormat Kota Bharu, Yang Berhormat Larut, Yang Berhormat Putrajaya bertindak seolah-olah apa yang disyorkan oleh RCI ini jauh berbeza daripada laporan yang mereka sendiri sudah baca sewaktu berada dalam Jemaah Menteri (ketika itu),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini