JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menuntut tindakan tegas diambil terhadap individu yang terbabit dalam penarikan balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tuntutan ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah, dan Tubir Selatan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menegaskan kerajaan negeri memandang serius pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang menunjukkan tindakan Kerajaan Persekutuan pada 23 Mei 2018 menarik balik permohonan tersebut meskipun terdapat bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia.
“Kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor menzahirkan rasa dukacita atas pengkhianatan ini. Mereka yang terbabit perlu dihadapkan ke muka pengadilan kerana menggugat kedaulatan negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan agar tiada pihak cuba memutarbelit isu itu sehingga menjejaskan keharmonian dan kedaulatan Johor serta Malaysia.
Semalam, beberapa NGO Johor menyerahkan petisyen mendesak tindakan diambil berhubung kehilangan Batu Puteh dalam himpunan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, yang disertai kira-kira 400 ahli pelbagai NGO.
Laporan RCI yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Ogos lalu mencadangkan siasatan jenayah terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, atas dakwaan menarik balik permohonan ICJ tanpa kelulusan Jemaah Menteri.
Dr Mahathir dilaporkan sedia menghadapi siasatan, namun menegaskan keputusan tersebut dibuat secara bersama oleh Kabinet ketika itu.
Pada masa sama, Onn Hafiz menyifatkan tindakan menarik balik permohonan semakan itu sebagai titik hitam dalam sejarah negara, menyebabkan hak Malaysia dan Johor untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh luput selama-lamanya.
“Dengan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah suatu titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor, di mana kita telah kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor.
“Segala hak yang berbaki untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh kini luput dan terlucut buat selama-lamanya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.