KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membincangkan isu menyentuh masalah air, kemiskinan, jalan raya dan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, hari ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata pertemuan empat mata bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat maklum balas positif.
“Alhamdulillah (pertemuan) mendapat maklum balas positif daripada Perdana Menteri.
“Dalam pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri, antara perkara yang saya bangkitkan adalah isu air, jalan raya, jajaran ECRL ke Rantau Panjang dan kemiskinan di Kelantan. Doakan yang terbaik,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook di sini, hari ini.
Mohd Nassuruddin mengadakan perjumpaan tertutup bersama Perdana Menteri untuk berbincang mengenai pembangunan Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, jam 3.20 petang sebelum ke Kompleks Darul Naim bagi menghadiri taklimat pembangunan negeri Kelantan.
Perdana Menteri menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong malam ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.