comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu agenda reformasi, penyelewengan diesel subsidi jadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Isu agenda reformasi institusi dan kaedah membanteras penyelewengan diesel subsidi menjadi antara tumpuan di Dewan Rakyat Hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan bertanyakan kepada Perdana Menteri mengenai prestasi agenda reformasi institusi yang ditekankan oleh kerajaan.

Beliau turut bertanya berkenaan lantikan-lantikan pengerusi institusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada sesi sama, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan rancangan kementerian untuk membina reaktor nuklear baharu dengan teknologi yang lebih baharu dan canggih bagi menggantikan Reaktor Triga Puspati (RTP) yang sudah digunakan sejak 1982.

Selain itu, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hiduo (KPDN) untuk menyatakan pelan tindakan yang akan diambil berhubung isu penyelewengan diesel subsidi di Malaysia terutama di negeri yang bersempadan dengan negara jiran seperti Sarawak serta langkah proaktif yang diambil bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan-bahan bersubsidi lain.

Turut menjadi tumpuan, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memperjelas, dan memantau lebih dekat isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel.

Usai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari hingga 12 Disember.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini