Tumpuan :
Nasional

Isu 3R : Tan Sri Muhyiddin selesai beri keterangan hampir sejam

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberi keterangan, hampir sejam bermula jam 11 pagi tadi, di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata selain memberi keterangan, beberapa dokumen berkaitan turut diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Dengan penjelasan saya kepada pihak polis beserta dokumen-dokumen yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.

“Sebagai seorang rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu dan taat setia saya kepada institusi Raja Berperlembagaan jangan dipersoalkan, “ katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara dokumen berkenaan ialah dua pucuk surat daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat kedua-duanya bertarikh 20 November 2022 yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah, meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatya pada 21 November 2022 sebelum jam 2.00 petang.

“Sebanyak 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022;

“Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Kolonel (B) Dato Nazim Mod Alim, Setiausaha Sulit Kanan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pada sesi keterangannya hari ini, sekali lagi menegaskan ucapan yang dikemukan sewaktu berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi beraja di negara ini.

“la adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 secara sepintas lalu, dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.

“Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutar belit ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja.

“Saya telah menjelaskan kepada pihak polis tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.

“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu,” tambahnya.

Menurutnya lagi, perkara itu telah berlaku hampir dua tahun lalu dan sepanjang tempoh itu beliau tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.

“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10. Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” jelasnya.

Turut hadir menyatakan sokongan ahli-ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Radzi Jidin, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu juga kelihatan, Ahli Parlimen Kuala Langat (PAS) Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Isnin lalu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin, sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini