
Oleh: Fareez Azman
KUALA LANGAT: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak, wujud ‘pilih bulu’ dalam siasatan polis berhubung kes berkaitan isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) melibatkan beberapa individu.
Sebaliknya tegas Saifuddin, polis hanya menjalankan siasatan dibawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) yang ditubuhkan sebelum ini.
“Saya tahu sejumlah kertas siasatan dibuka berapa yang berakhir dengan pertuduhan, kadang-kadang siasatan itu lengkap tapi Timbalan Pendakwa Raya memilih untuk tidak membawa ke pertuduhan itu diluar bidang kuasa polis.
“Tapi masyarakat melihat yang ini (siasatan selesai) cepat, yang ini tiada Tindakan, yang itu pandangan masyarakat. Polis lakukan siasatan, pasukan khas ditubuhkan di Bukit Aman hanya untuk isu 3R.
“Saya menjelaskan tanggungjawab polis setakat menyelesaikan siasatan, jadi ‘pilih bulu’ itu tidak wujud,” katanya.
Tambah Saifuddin, masyarakat berbilang kaum seharusnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian negara terjamin.
“Saya cuma boleh menasihati kalau selama kita nak bercakap isu 3R, maka masing-masing akan mulakan dengan perbandingan, pertuduhan, segala macam dan tidak membawa kebaikan apa kepada negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan penemuan lebih 50 tan peluru dan kelongsong peluru di sebuah kilang e-waste di Telok Panglima Garang di sini hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.