Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isu 3R: Polis sahkan siasat Sanusi

 

Oleh: Izzatie Rizan

BUKIT AMAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan ke Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang dipercayai menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia susulan dakwaan Datuk Seri Sanusi dalam satu ceramah pada program jelajah baru-baru ini yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Kita telah buka kertas siasatan atas atas 3R ini semalam. Polis melihat isu 3R ini kerap dimainkan apabila hampir kepada Pilihan Raya Negeri. Dan saya telah ingatkan, apa sahaja perkara berkaitan 3R akan disiasat,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman sebentar tadi.

Jelasnya, sebanyak 61 kertas siasatan melibatkan isu 3R sedang disiasat Bukit Aman ketika ini.

“61 kes telah direkodkan termasuk siasatan terhadap figura-figura politik antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng Dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi. Isu 3R ini ada juga pihak yang kadang-kadang terlampau seronok bercakap tak mengira perasaan orang, ini sepatutnya tidak berlaku.

“Apa-apa sahaja perkataan yang dikatakan kepada institusi diraja… kalau sayalah, kita akan sembah ampun pada tuanku,” tegasnya.

Pada siri jelajah itu, Menteri Besar Kedah itu turut mendakwa, tidak ada mana-mana media yang memaparkan Agong mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Dalam ceramah itu, Sanusi dikatakan turut menghina Sultan Selangor atas urusan pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, selain beberapa serangan peribadi terhadap menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Loading...
Terkini