Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Kertas siasatan terhadap Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng berhubung isu 3R (institusi raja, agama dan kaum) telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain bagaimanapun memberitahu, masih ada siasatan yang perlu dilakukan pihaknya meskipun siasatan sudah lengkap 70 peratus.
“Ada lagi siasatan yang kita perlu selesaikan daripada segi pengekalan data dan juga forensik, ini yang kita perlu uruskan lagi. Jadi, itu adalah siasatan yang akan kita teruskan, insya-Allah,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Ahad lalu, PDRM mengesahkan siasatan berhubung isu 3R terhadap kedua-dua pemimpin akan diserah kepada pihak AGC selepas kesemua keterangan diambil.
Razarudin juga berkata proses merekod keterangan dilaksana oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Bukit Aman).
Siasatan terhadap Abdul Hadi dilakukan susulan kenyataan beliau di laman Facebook pada 8 Julai lepas yang mendakwa DAP ingin mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran liberalisme.
Lim pula disiasat susulan kenyataan beliau yang mendakwa ’gelombang hijau’ akan menjejaskan hak agama di Pulau Pinang.