comscore
Tumpuan :
Nasional

Isu 3R: Kertas siasatan terhadap Hadi, Tun M dihantar ke Pejabat Peguam Negara -KPN

Oleh: Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR : Polis telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu agama, bangsa dan institusi diraja 3R.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, berkata kedua-dua kertas siasatan itu telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Siasatan ke atas Tun Dr Mahathir telah kita edarkan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 5 September manakala siasatan ke atas Tan Sri Abdul Hadi Awang kita edarkan pada hari ini pagi tadi,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan penutupan Program 4th National Forensic Science Symposium For Law Enforcement 2023 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, di sini.

Terdahulu, kertas siasatan terhadap Tan Sri Abdul Hadi dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ia berikutan kenyataan Presiden PAS itu yang didakwa mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram di Markas PAS di Bakri, Muar, Johor pada Ogos.

Manakala kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir pula difahamkan berhubung kenyataan didakwa berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja pada Jun lalu.

Mengulas mengenai bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN),  jelas beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipanggil pada 12 September depan untuk memberi keterangan.

“(Keterangan) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diambil pada 12 September depan, sepatutnya 11 haribulan,” jelasnya lagi.

Loading...
Terkini