Tumpuan :
Nasional

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17: Sultan Brunei dan Raja Bahrain tiba di Istana Negara

FOTO: Tangkap layar siaran langsung RTM

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha tiba di Istana Negara pada jam 9.32 pagi.

Keberangkatan tiba Baginda berdua diiringi ke Dewan Seri Maharaja sebelum dibawa ke Balairung Seri bagi menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sebelum itu, Raja Bahrain, Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa tiba sekitar jam 9.20 pagi.

FOTO: Tangkap layar siaran langsung RTM

Keberangkatan tetamu diraja luar negara itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil selaku Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong bersama isteri Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin.

Sebaik tiba, kedua-dua tetamu diraja dibawa ke Peterana Diraja di Dataran Istana Negara untuk menerima Hormat Diraja dan diikuti lagu negara masing-masing.

Istiadat Pertabalan dijangka bermula pada jam 10 pagi dimulakan dengan tiupan Nafiri dan Kawalan Kehormatan pada jam 9.40 pagi.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Sheikh Hamad dijadual menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Negara malam ini yang diadakan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Istiadat pertabalan ini dihadiri kira-kira 700 tetamu termasuk raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Anwar dan Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini serta pemimpin-pemimpin utama negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini