KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan yang berlangsung hari ini.
“Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri mewakili seluruh rakyat Malaysia juga menzahirkan ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.
Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.- BERNAMA