Oleh: Juliana Sharin
PETALING JAYA: Berbaki empat hari lagi, persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim 20 Julai ini berjalan lancar dan mengikut aturan seperti dirancang.
Menteri Komunikasi merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17, Fahmi Fadzil, berkata perancangan tujuh acara bersempena majlis itu di atur tahap maksima, dengan raptai bermula Khamis ini.
Acara bermula 18 Julai dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara.
Keesokannya, akan ada bacaan Khutbah Jumaat Khas mengenai kepentingan institusi raja berperlembagaan.
Pada malam istiadat pertabalan itu, dianjurkan Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah juga berkenan untuk berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak 23 Julai.
Sementara 25 Julai Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Pameran Raja Kita di Muzium Negara.
Acara ditutup dengan Jamuan Teh Diraja 27 Julai.
Kemaskini persiapan upacara lima tahun sekali itu dikongsikan Fahmi ketika ditemui selepas menjadi tetamu program TV3 Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama.
Kunjungannya disambut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Nini Yusof.
Fahmi mahu rakyat mengambil peluang meraikan detik bersejarah melibatkan institusi diraja yang menjadi tiang seri kedaulatan negara itu dengan bersama-sama menonton tayangan secara langsung menerusi siaran televisyen dan media sosial.
222 ‘wayang pacak’ juga disediakan di seluruh negara bagi memberi ruang orang ramai menyaksikan perjalanan istiadat itu.
“Harapan saya kita ambil peluang sempena pertabalan ini untuk meraikan. Tuanku adalah Yang di-Pertuan Agong untuk semua rakyat Malaysia. Bukan sekelompok, bukan untuk satu negeri, tetapi untuk semua rakyat Malaysia. Jadi kita sama-sama raikan. Rakyat dan raja berpisah tiada,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa