comscore
Tumpuan :
Nasional

Istiadat perkahwinan Tengku Muhammad Iskandar, Tengku Natasya berlangsung tiga hari

Istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang. Foto FB Kesultanan Pahang

KUALA LUMPUR: Istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah yang juga putera kedua Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pasangannya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Ia istiadat perkahwinan diraja kedua pada tahun ini selepas Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar pada 22, 23 dan 25 Ogos lalu.

Berita gembira itu dikongsikan menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Hantaran itu turut memaklumkan, Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal yang diadakan di Taman Duta di sini, semalam.

Majlis Adat Midodareni adalah salah satu acara sempena Istiadat Perkahwinan Putera Diraja Tengku Muhammad Iskandar dengan Tengku Natasya Puteri.

Terdahulu, baginda berdua turut berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Siraman di lokasi yang sama, semalam.

Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; Tengku Panglima Perang; Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah; Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Ilyana.

Kelmarin, Tunku Azizah Aminah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Tengku Natasya Puteri di Taman Duta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini