comscore
Tumpuan :
Nasional

Istiadat perkahwinan Tengku Arif Bendahara Pahang bermula esok

FOTO: Kesultanan Pahang/ Facebook

KUANTAN: Istiadat perkahwinan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja di pekarangan Istana Abdulaziz di sini, esok.

Justeru, sebanyak 16 das tembakan meriam akan dilepaskan esok yang dimulakan dengan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja dan menaikkan Bendera Istiadat Meletak Kerja.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya, berkata sebaik sahaja tembakan meriam dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi, bacaan doa diteruskan bagi menyempurnakan Istiadat Meletak Kerja.

“Pada jam 6.30 petang, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadualkan berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini.

“Pasangan pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada jam 8 malam, Khamis ini.

“Seterusnya istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai, Jumaat ini dan Istiadat Persandingan Diraja Ahad ini.

“Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada jam 8 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Pekan, Pekan.

Katanya, Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diteruskan mengikut susunan Adat Istiadat Pahang dengan Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan, Istiadat Bersiram dan Istiadat Menutup Kerja di Istana Abdulaziz pada 28 Oktober ini.

“Istiadat Santap Adap-Adapan bermula pada jam 4 petang dengan Tengku Ampuan Pahang menzahirkan Istiadat Menyuap Nasi Semangat kepada pasangan pengantin.

“Sebaik sahaja Istiadat Nasi Semangat dizahirkan istiadat diteruskan dengan Istiadat Merenjis dan Istiadat Bersiram.

“Bacaan doa oleh Mufti Pahang, Sahibus Samahan Prof Datuk Dr Asmadi bin Mohamed Naim dilaksanakan sebelum Istiadat Bersiram dizahirkan.

“Majlis Jamuan Teh pula akan bermula sebaik sahaja Pasangan Pengantin Diraja selesai Istiadat Bersiram,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengakhiri semua istiadat, Tengku Panglima Raja akan menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam dan bacaan doa oleh Mufti Pahang.

Katanya, tembakan meriam dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Pekan sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini