comscore
Tumpuan :
Nasional

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 terima pengiktirafan MBR

FOTO: UiTM / Facebook

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan dua pengiktirafan iaitu

Jumlah Skrol Terbanyak Dalam Istiadat Konvokesyen dan Bilangan Skrol Tertinggi Yang Disampaikan Oleh Naib Canselor.

Kedua-dua pengiktirafan ini diperakui oleh MBR apabila 31,220 graduan menerima skrol masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-95 yang berlangsung dari 26 November hingga 21 Disember.

Daripada jumlah berkenaan, seramai lebih 15,322 graduan menerima skrol ijazah dan diploma mereka daripada Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

FOTO: UiTM / Facebook

Roziah berkata, selepas tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 dan mengharungi pelbagai cabaran menyesuaikan diri dengan aktiviti kampus secara maya dan hibrid, istiadat konvokesyen UiTM kembali dianjurkan secara fizikal bagi meraikan pencapaian graduan.

“Terima kasih kepada MBR kerana memberikan pengiktirafan kepada UiTM dan saya terkejut kerana diberikan pengiktirafan individu sebagai penganugerah paling banyak iaitu 15,322 skrol.

“Fakulti Perniagaan dan Pengurusan yang paling ramai graduan kerana ia adalah fakulti terbesar dalam UiTM,” katanya pada sidang media di DATC hari ini.

Roziah menerima sijil pengiktirafan berkenaan daripada wakil MBR, Siti Nurhanim Mohd Noh selepas tamat sidang terakhir istiadat konvokesyen UiTM bagi kampus Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata, sambutan secara fizikal bermula dengan konvokesyen ke-93 yang diadakan pada 15 Jun hingga 6 Julai 2022 dan konvokesyen ke-94 yang diadakan pada 10 hingga 21 September 2022.

Katanya, UiTM berbangga dengan pencapaian kesemua graduannya daan turut gembira meraikan kejayaan keluarga besar UiTM yang sehingga kini berjumlah seramai 968,161.

Loading...
Terkini