SHAH ALAM: Fitria Elfina Maharip isteri kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali mengakui amat merindui dua orang anaknya.
Menurut Fitria Elfina, 44, sudah sebulan lebih dia tidak berjumpa atau berkomunikasi dengan mereka.
“Sudah sebulan lebih saya tak boleh berkomunikasi dengan anak saya. Saya pun tak tahu anak saya ada di mana sekarang ini,” katanya.
Fitria Elfina mendakwa dua orang anaknya, Shania Safina dan Shanika Salsabila masing-masing berusia tujuh dan sembilan tahun dibawa Safee atau nama sebenar Mohd Safee Mohd Sali, 40, sejak 6 Februari lalu.
Katanya, dia hanya mengetahui keadaan anaknya menerusi satu surat yang ditinggalkan dalam kereta suaminya, 28 Februari lalu.
“Keretanya ditinggalkan di rumah saya, jadi saya ambil kunci pendua dan nampak surat yang menyatakan anak-anak rindukan saya.”
“Dalam surat itu juga menyatakan, anak-anak di sana tak selesa kerana ada orang yang marah.”
Fitria Elfina ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.
Fitria Elfina hadir ditemani peguamnya, Amir Syazwan Ahmad Fauzi bagi menjalani proses sulk kes tuntutan hak penjagaan anak bersama Safee.
“Saya nak berjuang untuk anak-anak saya sebab 100 peratus memang saya jaga anak. Saya tak pernah berpisah dengan anak-anak, ini kali pertama kami berpisah,” katanya.
Sementara itu, Amir Syazwan berkata proses sulk yang berlangsung hari ini, tidak berjaya apabila kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.
“Hari ini (berlangsung) proses sulk untuk kes hadanah hak penjagaan anak, malangnya sulk tidak berjaya. Kita akan terus ke sebutan semula kes tuntutan hak penjagaan anak yang akan berlangsung 9 Mei ini,” katanya.
Tambahnya, sebutan untuk pengesahan lafaz cerai pasangan itu dijangka berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, jam 9 pagi esok.
Terdahulu, Safee yang memakai baju-T hitam, berpelitup muka serta kaca mata hitam dilihat diiringi peguamnya, enggan melayan media apabila meninggalkan pekarangan mahkamah dengan tergesa-gesa.
Safee dan Fitria Elfina berkahwin pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.
Sebelum itu, Safee yang juga Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) pernah berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan sebelum berpisah pada 2 April 2012.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.