JITRA: Shubiah Roslina Shahibi, 57, reda dengan ketentuan Allah SWT bahawa suaminya, Sabari Baharom sudah tiada selepas operasi hari ketiga mencari pesara FELCRA itu yang dipercayai dicampak ‘hidup-hidup’ ke Sungai Padang Terap, di sini, menemui jalan buntu.
Katanya, dia dan keluarga berpuas hati dengan usaha pasukan pencarian di sekitar kawasan sungai tempat suaminya dipercayai dicampak dengan kedua-dua tangan dipercayai diikat dan mulut ditutup pita pelekat dalam kejadian lebih sebulan lalu itu.
“Saya puas hati dengan usaha mereka, atas kemampuan mereka dalam operasi mencari suami saya. Polis pun cakap, mereka tahu usaha ini sudah lewat sebab kejadian berlaku pada 4 September lalu.
“Operasi mencari dibuat selepas polis menahan dua suspek,” katanya ketika ditemui BH di lokasi pencarian di Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Wang Tepus, di sini hari ini.
Shubiah berkata, jasad suaminya, pesara pegawai kewangan FELCRA berusia 62 tahun itu mungkin tidak akan ditemui walaupun selepas pencarian selama tiga hari.
“Keluarga tahu dan terima bahawa suami saya sudah tiada lagi. Jika jasadnya ditemukan Alhamdulillah, jika tidak, tidak mengapa, itu semua ketentuan Allah. Saya ucapkan terima kasih atas usaha pihak berkuasa mengesan jasad suami,” katanya.
Katanya, mereka juga sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa kemungkinan untuk menemui jasad suaminya tipis.
“Sebelum ini, banjir besar melanda kawasan itu selama kira-kira seminggu, diikuti banjir lain selama empat hari. Arus deras boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa