KOTA KINABALU: Seorang wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Iramanis, Jalan Lintas, di sini, malam ini.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa Sarimah Januil, 58, penumpang hadapan kereta jenis Honda Accord meninggal dunia di tempat kejadian selepas tercampak keluar kira-kira 50 meter dari kereta dipandu suaminya.
Suami mangsa berusia 61 tahun dan dua anak lelaki mereka berusia 15 dan 23 tahun turut cedera.
Difahamkan, kereta Honda Accord dipercayai bergesel dengan sebuah kereta jenis Perodua Azla sebelum terbabas lalu terjatuh ke dalam parit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, kemalangan membabitkan dua kereta jenis Honda Accord dan Perodua Alza.
“Terdapat empat mangsa di dalam Honda Accord, tiga mangsa cedera manakala seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiga lagi mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.
“Dua mangsa di dalam kereta Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 10.15 malam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.