SERIAN: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 63, Jalan Kuching/Sri Aman di sini, jam 6.45 pagi tadi.
Mangsa yang berusia 58 tahun mengalami kecederaan parah di leher serta tangan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Serian
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, suaminya yang menunggang motosikal itu berusia 72 tahun mengalami kecederaan di kepala dan parah di tangan.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang seorang lelaki secara tiba-tiba menukar lorong dari kiri ke kanan.
“Akibat jarak yang dekat motosikal terbabit dilanggar kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tegasnya.