Tumpuan :
Nasional

Isteri Cikgu Din meninggal dunia

Kisah Cikgu Din sebelum ini tular dan mendapat perhatian KPM apabila dia terpaksa berulang alik dari Sarawak ke Kelantan setiap dua minggu sekali bagi menemani isteri mendapatkan rawatan.

Oleh: Akmaliah Razak

TUMPAT: Isteri kepada seorang guru lelaki yang dikenali sebagai Cikgu Din dilaporkan meninggal dunia pada jam 9 malam semalam.

Perkhabaran duka itu dikongsikan Cikgu Din atau nama sebenar Mohamad Izzudin Izhar, 34, menerusi perkongsiannya di aplikasi WhatsApp.

“Isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi..saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap, dan kalau ada hutang (Allahyarham) mohon beritahu saya,” kongsi Cikgu Din ringkas.

Pada Oktober lalu, menerusi perkongsian warganet di Facebook, Cikgu Din dibelenggu resah dan harapan untuk bertukar ke Semenanjung demi isterinya, Nur Atiqah My Yusoff yang bertarung nyawa melawan kanser tulang rawan tahap empat.

Guru yang bertugas di Sarawak itu juga dilaporkan sanggup berulang-alik dari Sarawak ke Kota Bharu, Kelantan setiap dua minggu untuk menemani isteri, dan membuat permohonan pertukaran apabila keadaan isteri semakin memburuk.

Justeru KPM mengadakan perbincangan Bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Kelantan dan bersetuju untuk menempatkan Cikgu Din di sekolah berhampiran isterinya untuk tempoh sementara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini