DUNGUN: “Saya sebak dan rebah sebaik menerima panggilan yang memaklumkan mereka maut dalam kemalangan itu,” kata Raja Hussin Raja Abdullah mengenai kemalangan maut yang menimpa ahli keluarganya di Kilometer 375.8, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, petang semalam.
Raja Hussin, 60, berkata dia menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan isterinya, Noreha Mohamed 53, anaknya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, dan cucunya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail, dua bulan maut dalam kemalangan itu.
Artikel berkaitan: Bayi antara 3 maut nahas LPT2
“Saya terima panggilan kira-kira jam 7.15 malam. Ketika itu saya sedang bersiap untuk solat magrib dan masuk bekerja shif malam sebelum dikejutkan dengan berita yang sangat menyedihkan itu.
“Saya minta tolong rakan bergegas ke tempat kejadian dan sungguh sedih bila melihat keadaan mayat isteri dan cucu bermandi darah,” katanya.
Katanya, tiga jam selepas itu, dia sekali lagi mendapat panggilan yang memaklumkan anaknya, Raja Norhanani pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu.
“Ketika kejadian, saya yang berkerja kontrak di Kawasan Industri Kerteh Kemaman, berada di rumah sewa di Paka Dungun.
“Selain mereka, dua lagi anak saya, Raja Haikal Najmi Raja Hussin, 20, yang memandu kereta dan Raja Nurhumairaa Nadzirah Raja Hussin, 13, dalam perjalanan dari rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan untuk ke Kem Batu 10, Kuantan.
“Mereka nak hantar Raja Nurhanani bersama bayi sulungnya yang baru habis pantang di kampung ke sana, kerana suami Raja Nurhanani yang merupakan seorang tentera, bertugas di sana,” katanya.
Raja Hussin berkata, dia menerima panggilan daripada isterinya yang memaklumkan untuk bertolak ke Kuantan dan dia sempat berpesan supaya berhati-hati.
“Isteri memaklumkan selepas menghantar anak dan cucu saya di Kuantan, dia dan anak yang lain akan singgah dan bermalam di rumah sewa saya di Paka.
“Dia nak singgah memandangkan kami sudah lama tidak bertemu dan kali terakhir pertemuan kami ialah pada Aidiladha lalu,” katanya.
Katanya, beberapa hari sebelum itu, dia ada menghubungi isterinya dan mengajak isterinya itu menghadiri suatu majlis kenduri kahwin di Kelantan pada bulan depan.
“Dia jawab tak nak pergi kerana dia (isteri) nak pergi berjalan ke tempat yang lebih jauh, saya tanya jauh tu di mana dan dia jawab sangat jauh tak boleh nak cerita.
“Saya tidak sangka perkataan pelik dari isteri itu membawa makna bahawa dia akan pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya.
“Sebaik selesai proses bedah siasat ini, saya akan bawa kesemua jenazah ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semak Jal,” katanya.