KUALA LUMPUR: Pentas berprestij, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, ditutup tiga tahun bagi kerja-kerja pengubahsuaian dan penyelenggaraan bumbung yang akan bermula Jun depan.
Menurut Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar, penutupan dalam tempoh panjang sehingga 36 bulan itu tidak dapat dielak kerana sejak mula beroperasi 24 tahun lalu, tiada kerja penyelenggaraan dibuat pada bahagian bumbung lokasi ikonik terbabit.
“Selain untuk penambahbaikan kemudahan di IB, proses ubah suai dibuat untuk tujuan keselamatan.
“Berikutan proses itu agak rumit dan mengambil masa kerana perlu melalui pelbagai fasa, IB akan ditutup untuk tempoh 36 bulan.
“Bagaimanapun, ketika ini belum ada tarikh khusus bila proses ubah suai akan bermula kerana kami perlu mendapat penjelasan mengenai gerak kerja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bagaimanapun, untuk memudahkan kami membuat persediaan, IB ditutup mulai Jun depan,” katanya pada majlis pelancaran program IB sepanjang 2023 IB dan kempen Gerak di Bora Ombak Marina, Putrajaya, kelmarin.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff.
Biarpun tiada aktiviti dikendalikan di pentas utama IB iaitu Panggung Sari, tidak bermakna semua kegiatan seni dan pementasan terhenti.
Ibarat projek serampang dua mata, Zubaidah berkata, IB akan membawa persembahan istimewa ke seluruh negara sepanjang penutupan premis terbabit.
“Sehingga Mei depan, kami sudah sediakan 10 program untuk dipentaskan kepada khalayak.
“Enam daripada program terbabit adalah terbitan IB yang bakal dipentaskan di Panggung Sari. Empat program lain akan dikendalikan di lokasi luar.
“Selepas Jun, semua aktiviti yang ada kaitan dengan IB akan dipentaskan di lokasi luar terpilih di seluruh negara,” katanya.
Zubaidah berkata, antara program yang bakal membuka tirai Panggung Sari adalah konsert anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Konsert Di Raja, Konsert Sanam Band, Malam Gala Filem Imam dan Konsert Klasik menampilkan pemain biola Itali, Domenico Nordio.
Turut dipentaskan adalah Teater Tradisional Mak Yong (Anak Raja Gondang) dan Flourishes 23: Seri Puteri Symphonic Winds Royal Concert.
Tambah Zubaidah, selepas Mei, melalui kempen Gerak, IB akan menganjurkan program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia; siri jelajah IB Sulur Nakasari; Orkestra Simfoni Kebangsaan Siri Lambang Sari 2023; IB In The Park; Konsert Mega Kembara Muzik Tradisional dan Echoes of Bronze, ASEAN.
Zubaidah bagaimanapun tidak menolak penutupan IB memberi impak terhadap hasil jualan tiket.
“Tahun lalu, IB mengutip RM6.14 juta daripada hasil jualan tiket serta menarik lebih 29,000 penonton menyaksikan 39 pementasan.
“Apabila IB ditutup, tidak dinafikan ia akan menjejaskan jualan tiket. Tetapi, hendak buat macam mana, terpaksalah kami berkorban,” katanya.
Sementara itu, Zubaidah yang baru empat bulan memegang jawatan Ketua Pengarah berkongsi berita gembira dengan dasar ketat dilaksanakan tahun lalu berkesan dalam mengatasi masalah hutang membabitkan syarikat produksi luar.
“Jika sebelum ini kita benarkan produksi luar mementaskan projek sebelum bayaran penuh dibuat, kali ini kami terpaksa bertegas.
“Hanya syarikat produksi yang membuat bayaran penuh dibenarkan membuat persembahan. Justeru, tahun lalu kami mencatat rekod apabila tidak ada satu pun syarikat produksi berhutang dengan kami.
“Bercakap mengenai hutang, saya mahu memaklumkan ada hutang lapuk sudah pun dijelaskan.
“Daripada hutang bernilai RM2 juta secara keseluruhan, IB sudah terima bayaran RM200,000 membabitkan pelbagai syarikat produksi.
“Kami masih memburu syarikat produksi yang berdegil. Ada antara syarikat terbabit sudah mendapat surat peringatan daripada peguam dilantik IB,” katanya.
IB memberi penghargaan istimewa kepada dua akhbar terbitan kumpulan The New Straits Times Press Berhad (NSTP) iaitu Berita Harian (BH) dan Harian Metro atas nilai publisiti tertinggi diberi kepada pentas budaya itu sepanjang tahun lalu.
IB mendapat nilai publisiti RM52 juta yang diberi media pada 2022.