comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Israel Cuak’ bergema di Bukit Jalil

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Solidariti rakyat Malaysia diterjemah dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam ini.

 

Himpunan bermula jam 6:30 petang, namun orang ramai sudah berkumpul lebih awal bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati bukan hanya dalam kalangan dewasa malah kanak-kanak dan bukan Muslim termasuk pelancong asing dilihat hadir bagi menzahirkan solidariti mereka.

Selain membawa sepanduk, rata-rata peserta yang hadir turut memakai selempang Palestin dan mengibarkan bendera negara berkenaan sambil mengutuk tindakan kejam rejim zionis.

Setakat ini, lokasi yang menjadi tumpuan ini berada dalam keadaan aman dengan kawalan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, Perhimpunan dikelolakan ABIM dan Global Peace Malaysia (GPM) selaku penganjur utama itu, turut melibatkan lebih 40 NGO seperti Malaysian Humanitarian Aid And Relief (MAHAR) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Malah, ia turut dijadualkan bermula dengan solat Maghrib disusuli solat hajat yang dipimpin imam dan qari dari Palestin Shaykh Rami As-Sousi.

Kemuncak program pastinya ucapan khas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada jam 9:40 malam ini.

Perdana Menteri telah membawa suara Malaysia ke pentas dunia supaya masyarakat antarabangsa menoktahkan layanan kejam serta sikap hipokrasi terhadap rakyat Palestin semasa lawatan kerja ke Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) minggu lalu.

Beliau juga menegaskan perkara sama semasa pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin, Istanbul pada Ahad dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi di Kaherah, semalam.

Loading...
Terkini