Tumpuan :
Nasional

Ismail Sabri kini suspek kes rasuah dan pengubahan wang haram

Oleh: Farah Nabilah Wazer

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini dikategorikan sebagai suspek dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai RM170 juta dalam sebuah “safehouse” menerusi satu serbuan, baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media di Bangunan SPRM, siang tadi.

“Penemuan wang tunai ini mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Bera tersebut merupakan seorang suspek dalam kes ini. Justeru, antara tindakan yang telah diambil oleh SPRM terhadap beliau adalah meminta beliau memperincikan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM,” katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri, PM kesembilan

Tambahnya, SPRM bakal mengambil keterangan daripada bekas Perdana Menteri itu Rabu ini, bergantung kepada tahap kesihatannya.

Azam menjelaskan, SPRM perlu mendapatkan penjelasan daripada Ismail Sabri mengenai wang tunai berkenaan kerana beliau merupakan individu yang dikaitkan dengan penemuan itu.

“Kita telah meminta beliau mengisytiharkan hartanya, dan apabila terdapat penemuan wang dalam jumlah besar ini, maka adalah penting bagi kita untuk mendapatkan penjelasan daripadanya,” tambahnya.

Setakat ini, 13 akaun bank bernilai RM2 juta telah dibekukan, namun akaun Ismail Sabri masih dalam siasatan.

“Daripada kesemua suspek yang ditahan, tiga daripadanya merupakan ahli politik,” tambahnya.

SPRM sebelum ini mengesahkan merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini