BINTULU: Meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dan sedang dirancang, serta memperkasakan aspek kemahiran dan kebolehpasaran belia akan menjadi agenda dan misi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jepak yang baharu, Iskandar Turkee berkata, perancangan pembangunan itu ujarnya akan diselarikan dengan pembangunan bakat dan kemahiran terutamanya melibatkan golongan belia di DUN berkenaan.
“Supaya kebolehpasaran mereka (golongan belia) ini agak tinggi bersesuaian dengan industri atau pun tawaran yang ada di Bintulu ataupun mungkin di luar daripada Bintulu.
“Di sini kita tidak boleh fokuskan skop kita berdasarkan pasaran kerjaya di Bintulu sahaja.
“Sebagai contoh jika golongan belia meminati bidang hospitaliti, kebanyakan hotel-hotel besar berada di luar daripada kawasan Bintulu.
“Bagaimanapun, apa yang penting golongan muda harus sanggup menerima cabaran-cabaran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan Pilihan Raya Kecil PRK Jepak di Dewan Suarah Bintulu malam tadi.
Pada PRK kali ini Iskandar menang dengan majoriti 8,784 undi menewaskan dua pencabarnya dari Parti Bumi Kenyalang PBK Stevenson Joseph Sumbang yang hanya meraih 854 undi dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak dengan 431 undi.
Majoriti yang diperolehnya itu dua kali ganda berbanding 4,243 undi yang di peroleh oleh GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lepas.