Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Isi rumah miskin tegar dan B40 yang sertai IPR disasar jana pendapatan RM2,000 sebulan, keluar daripada garis kemiskinan

AMPANG: Kerajaan menyasar 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar dan B40, yang menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sasaran itu berdasarkan kajian yang dilaksanakan pihaknya berasaskan garis kemiskinan tegar yang ditetapkan pada RM1,900 sebulan.

Katanya, IPR bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk menjana pendapatan membabitkan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

IPR membabitkan tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

“Kita sudah menjalankan ‘modeling’ awal, jika melihat kepada tiga model tadi, usahawan tani, mungkin mengambil masa yang lebih panjang untuk mendapat pendapatan.

“Jadi kita sudah mengambil kira bantuan untuk tempoh pemantauan 24 bulan termasuk penyediaan tapak, infrastruktur, latihan dan sebagainya termasuk elaun bulanan sementara hasil tuaian itu berlaku.

“Sama juga dengan INSAN, penjualan makanan melalui mesin vending, juadah itu dijual dalam RM2 sahaja kerana ia membantu orang ramai, menurunkan harga makanan.

“IKHSAN, operator kawal selia kemudahan kerajaan seperti tandas awam, pejabat dan sebagainya, akan mendapat pendapatan dari dua sumber iaitu kutipan harian orang ramai bayar untuk masuk tandas atau kelengkapan kemudahan lain tetapi jika tidak mencukupi, kerajaan akan tambah supaya pendapatan bulanan mereka menjadi RM2,000,” katanya.

Rafizi (dua dari kanan) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Mohd Azharuddin Mat Sah (kiri) melihat sebuah mesin layan diri yang menjual pelbagai jenis makanan tempatan seperti nasi lemak milik peserta IPR pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat di Stesen LRT Cempaka, Ampang. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran IPR di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Rafizi berkata, IPR membabitkan ekosistem tiga pihak iaitu penerima membabitkan miskin tegar dan B40, pembimbing (peniaga setempat yang membeli produk perkhidmatan, NGO serta agensi kerajaan) dan rakan niaga.

INTAN adalah inisiatif untuk merekrut golongan sasar yang berminat dalam pertanian dengan memilih hasil tanaman yang tinggi dalam jumlah import seperti cili, halia dan jagung.

INSAN pula menyasar peserta menjual makanan umum pada harga rendah, menerusi perniagaan mesin vending yang mampu meningkatkan jualan melalui penambahan lokasi tumpuan.

Manakala IKHSAN merekrut golongan sasar yang berminat untuk bekerja sebagai pekerja pembersihan, sekali gus mampu mengatasi masalah kekurangan buruh bagi menyelenggara beberapa kemudahan awam.

“Untuk INTAN, kerajaan menyediakan tanah, infrastruktur pertanian, latihan, kos operasi seperti baja, sokongan pemasaran, padanan dengan pembeli, elaun bulanan sementara menunggu hasil tuaian.

“Menerusi INSAN pula, kerajaan menyediakan mesin vending dengan menanggung bayaran sewa mesin selama 24 bulan, latihan, tempat berniaga di lokasi tumpuan dan sokongan koperasi.

“Manakala IKHSAN, kerajaan menyediakan peralatan dan kelengkapan urusan lantikan dengan pemilik kemudahan, latihan dan elaun tambahan untuk digenapkan pendapatan mencecah RM2,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan menyasar 100,000 peserta dari isi rumah miskin tegas dan B40 menyertai IPR tahun ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini