Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Usahawan dan inovator muda digesa untuk menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui dalam menyokong usaha kerajaan mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, penglibatan generasi muda itu amat penting terutama pada peringkat pendidikan awal.
“Melibatkan belia kita dalam perjalanan ini adalah amat penting. Dengan melabur dalam pendidikan mereka, kita dapat membentuk asas yang kukuh untuk membina masa depan yang lestari.
“Program pendidikan yang memfokuskan kepada tenaga lestari dan inovasi teknologi mesti menjadi keutamaan, bukan pilihan atau tambahan. Kita mesti melengkapkan belia kita bukan sahaja untuk pekerjaan masa kini tetapi juga untuk menghadapi cabaran yang akan datang,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai pemimpin masa depan, penglibatan generasi muda juga diyakini dapat memperhebatkan agenda negara dalam sektor itu.
“Melangkah ke hadapan, saya membayangkan masa depan di mana belia kita diberi kuasa bukan sahaja untuk menggunakan tenaga secara lestari tetapi juga untuk memimpin perbincangan mengenai penyelesaian tenaga.
“Saya yakin mereka akan memperjuangkan dasar-dasar yang mengutamakan kelestarian dan sentiasa mencabar. Di sini, saya ingin menggesa usahawan muda dan inovator kita untuk menceburi sektor tenaga boleh diperbaharui dan tenaga baru untuk menyokong usaha kerajaan dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) keenam 2024 yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.