Tumpuan :
Nasional

‘Ironman’ Hanapiah Nasir meninggal dunia

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: ‘Ironman’ Malaysia, Hanapiah Nasir meninggal dunia, jam 6 petang tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), akibat kegagalan fungsi organ.

Jenazah lagenda sukan olahraga itu kini berada di Masjid Kg Baru, ibu negara.

Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai dilihat hadir memberi penghormatan terakhir.

Keluarga memaklumkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak.

Allahyarham 65 tahun banyak menyumbang keringat kepada sukan olahraga dengan meraih empat emas, masing-masing dalam acara lompat jauh (1985), 110 meter (m) lari berpagar (1985) dan decathlon (1983 dan 1981) di temasya Sukan SEA.

Pada 1985, Allahyarham memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara lompat jauh dengan lompatan sejauh 7.59m serta 110m lari berpagar.

Allahyarham turut meraih perak dalam acara 4x100m bersama Rabuan Pit, Sivaling Govindasamy dan Nordin Jadi.

Selepas bersara, Allahyarham terus bergiat dalam arena olahraga dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih negara dari 2005 hingga ke 2009.

Loading...
Terkini