Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajarnya untuk mengambil langkah waspada ketika melakukan aktiviti luar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata perkara itu bagi memastikan langkah berjaga-jaga diambil untuk menjamin keselamatan pihak berkenaan.
“Saya ingin mengingatkan kita semualah sebab kalau musim-musim terkujuh yang akan datang ini, khususnya yang terletak di kawasan Pantai Timur, langkah-langkah perlu hendaklah dibuat khususnya di peringkat IPT termasuk politeknik dan kolej komuniti.
“Selain daripada langkah-langkah yang akan dibuat oleh pihak institusi yang berkenaan, kita juga menyarankan, menasihatkan kepada pelajar-pelajar supaya mengambil langkah-langkah perlu.
“Jadi dengan pendekatan ini, maknanya mereka sendiri pun turut mengambil langkah-langkah (waspada) ini,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau persiapan akhir Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Program yang julung kali diadakan selama tiga hari bermula esok itu dijangka menarik lebih 250,000 pengunjung dengan pelbagai pengisian program menarik.
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam laporan media sebelum ini meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) bermula awal November dan berakhir pada hujung Mac 2025 yang menjangkakan episod hujan lebat berlaku di negeri Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.