![](https://media.buletintv3.my/2025/02/fM0Glzx0-BULETIN-TV3-AD-5.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Sistem terimaan elektronik Kerajaan Persekutuan (iPayment) bakal dilaksanakan secara menyeluruh bermula Mac.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ia dipercepat bagi meningkatkan kecekapan urusan perkhidmatan awam kepada rakyat.
“Sistem terimaan elektronik ini tentunya satu pembaharuan dan saya setuju gesaan harus disegerakan.
“Kerana transformasi digital ini telah kita umumkan sebagai dasar negara hampir setahun.
“Saya percaya unjuran kita untuk melaksanakan keseluruhannya pada bulan April boleh dipercepatkan.
“Jadi bulan Ramadan kita tumpukan hal ini supaya selesai kalau tidak, tak ada cuti raya,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peluncuran iPayment pada hari ini adalah satu langkah ke hadapan yang juga selari dengan reformasi perkhidmatan awam.
“Kerana selain daripada perkara baharu dibentangkan, ia ada makna langsung kepada rakyat, kecekapan, mengelak daripada karenah birokrasi menunggu lama.
“Bagi saya khidmat awam ini diukur di sini, kadang-kadang kita dalam dewan bicara soal dasar, tapi kelemahan bila kita turun ke daerah dan jabatan-jabatan.” ujarnya.
Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mengikut Belanjawan 2025, iPayment adalah sistem terimaan elektronik bersepadu yang dibangunkan bersama Jabatan Akauntan Negara (JAN) selaras dengan dasar kerajaan ke arah memacu transformasi digital sektor awam bersama komuniti tanpa tunai.
Ia membolehkan pembayaran rentas sempadan negara tanpa batas waktu dan tidak perlu hadir ke pejabat agensi kerajaan.
Sistem itu turut memberi keselesaan kepada pengguna dengan menjimatkan masa dan kos dengan pilihan saluran mod pembayaran iaitu menggunakan kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet, kod QR serta e-dompet.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.