Tumpuan :
Nasional

Intervensi stabilkan bekalan minyak masak botol dilanjutkan dalam tempoh 3 bulan

Armizan ditemui sempena Program Servis Ihsan MADANI@Petronas Autoexpert (SIM@PAX) Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Tapak Tamu Mingguan Papar.

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Langkah intervensi menstabilkan bekalan minyak masak kemasan botol yang mengalami gangguan di pasaran dijadual akan dilanjutkan dalam tempoh tiga bulan ini bermula Mac hingga Mei depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, walaupun harga minyak kelapa sawit (CPO) dijangka menurun selepas Aidilfitri, namun terdapat syarikat akan berdepan kos pengeluaran yang tinggi sehingga menjelang Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Kita mensasarkan bahawa dalam tempoh ini tiga bulan ini walaupun dijangka selepas Aidilfitri ini harga CPO akan agak menurun, tetapi masih juga tinggi masih juga syarikat-syarikat akan berhadapan dengan kos pengeluaran yang tinggi,

“Jadi tiga bulan ini adalah tempoh yang penting iaitu Ramadan, Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai Ramadan, jadi kita mahu tiga bulan ini tidak ada isu dengan kita memberi insentif kepada syarikat-syarikat pembungkus supaya mereka membantu mereka supaya mereka boleh terus mengeluarkan minyak kemasan botol,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas Autoexpert (Sim@Pax) Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas, di sini.

Tambahnya, dalam masa sama pihaknya bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi telah diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencari formula jangka panjang dalam menyelesaiakan isu bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol di pasaran.

Ini kerana ujarnya antara masalah yang dihadapi terdapat syarikat penghasilan minyak kemasan botol terlibat ketika ini ada yang terpaksa mengurangkan pengeluaran dari 50 hingga 100 peratus daripada produksi mereka.

“Sebahagian daripada syarikat-syarikat pembungkus minyak kemasan-kemasan botol ini yang difahamkan sebelum ini mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran penghasilan minyak kemasan botol ini hingga 50 peratus daripada produksi mereka untuk meminimum kos pengeluaran mereka

“Itu sebabnya sebahagian tempat ada kawasan-kawasan pengedaran tersebut yang bekalan itu sudah tidak ada langsung ataupun masuk saja terus habis itu sebab kita memantau,” katanya.

Semalam kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan kenyataan akan mempertimbang pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol bagi memastikan mereka mengeluarkan segera bekalan untuk keperluan pasaran.

Menurut Armizan ia antara langkah intervensi diambil pihaknya dalam usaha menstabilkan bekalan minyak masak kemasan botol yang mengalami gangguan di pasaran.

Antara punca utama gangguan bekalan adalah kenaikan kos pengeluaran disebabkan harga minyak sawit mentah (MSM) dunia yang meningkat sejak dua tahun lalu.

Bagi dua bulan pertama 2025, harga purata MSM (per tan) adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759 bagi Februari.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini