Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Kopi kisar yang diusahakan oleh seorang warga emas di Pasar Awam Larkin, di sini terus menjadi pilihan penggemar kopi.
Diusahakan oleh Saimon Kasban, 66, atau lebih mesra dengan panggilan ’Wak Mon’, perniagaan itu diwarisi daripada perniagaan bapa saudaranya sejak 40 tahun lalu.
Aroma dan rasanya menjadi daya tarikan utama dan itulah yang membezakan kopi kisar Wak Mon yang dihasilkan secara tradisional.
Menggunakan biji kopi Arabica yang dibeli menerusi pembekal dari Indonesia, ia kemudiannya dihantar ke kilang di Kuala Lumpur untuk diproses.
Biji kopi yang digoreng kemudian dihantar ke premisnya sebelum dikisar bersama kopi kampung dan kopi Hailam sebelum dipasarkan.
“Kelebihan dia pasal kita campuran dia tu macam orang tak boleh ikut macam kita punya campuranlah jadi kita buat macam selera orang Melayu kita, dia macam kebanyakannya bersetujulah dengan kena dengan selera dia orang macam Arabica kita campur kopi kampung campur kopi Hailam ada tiga jenis ni ini Arabica ini kampung ini Black kopi campur jadi satu kemudian kita kisar itu jadi dia rasa dia kalau kita nak cerita kalau kita nak cerita memang kita tak dapat nak cerita dengan aroma dia dengan rasanya cuma orang yang minum sahaja yang dapat merasakan nikmat,” ujar Saimon.
Bagi warga Kota Singa, kopi Wak Mon adalah hidangan wajib apabila tiba musim perayaan.
“Saya memang penggemar kopi jadi saya dengan Wak Mon ni, dah lebih berbelas belas tahun dah, jadi dia pun dah tahu saya perlukan kopi dan pada saya kopi ni saya memang yang terbaik..sedap dan lemak berbanding kopi jenama lain” kata Rozan Mat Saat salah seorang pelanggan tetap kopi Wak Mon.
Bagi Hisyammudin Muhaimin pula, campuran tiga jenis kopi menyebabkan kopi Wak Mon satu kegilaan kepada pengemar kopi kerana rasanya jauh berbeza dari jenama kopi segera di pasaran.
Beliau yang lebih 10 tahun menjadi pelanggan kopi Wak Mon mengakui sudah mencuba beberapa kopi jenama lain, namun kopi Wak Mon tetap pilihan nombor satu.
Secara purata Wak Mon mampu menjual 80 kilogram kopi setiap bulan dan jumlah itu terus meningkat terutama pada musim perayaan termasuk sambutan Tahun Baharu Cina.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.