comscore
Tumpuan :
Nasional

Inspektor Sheila belum fail representasi untuk batal tuduhan

Inspektor Sheila atau nama Sheila Sharon Steven Kumar hadir di Mahkamah Majistret KL. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pegawai polis, Inspektor Sheila belum membuat keputusan untuk memfailkan representasi atau sebaliknya, bagi membatalkan tuduhan menyebabkan kegusaran awam termasuk membunyikan hon dalam tempoh lama.

Peguam bela Inspektor Sheila atau Sheila Sharon Steven Kumar, M Manoharan, berkata pihaknya masih tidak menerima dokumen lengkap kes itu daripada pihak pendakwaan.

“Pada sebutan kes itu hari ini, kita terima beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan dan baki dokumen lagi akan diterima pada sebutan kes seterusnya pada 15 Januari depan.

“Kes ini remeh, namun kita masih kaji untuk failkan representasi atau tidak kerana dokumen masih tak lengkap,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding di depan Majistret Illi Marisqa Khalizan, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman.

Inspektor Sheila, 35, berdepan tuduhan melakukan mudarat awam dengan memarahi, membunyikan hon kereta dengan lama dan menjerit hingga mendatangkan kegusaran kepada Nuraihan Nadzifah Ibrahim, 27.

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kereta Aras B1, di sebuah pusat beli belah dalam daerah Brickfields di sini pada jam 5.26 petang, 16 Jun lalu, mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 260 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, Inspektor Sheila yang mempunyai ijazah dalam bidang bahasa dan linguistik daripada Universiti Malaya boleh dihukum denda hingga RM400.

Pada 26 Jun lalu, Inspektor Sheila didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dan menyebut pangkat dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.
Dua tuduhan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tuduhan itu akan dibicarakan pada 5 Februari tahun depan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini