SHAH ALAM: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil langkah proaktif dengan menambah enam beg ‘activated carbon’ bagi membantu meningkatkan proses nyah bau susulan tumpahan minyak atas jalan raya di Kota Seriemas, Negeri Sembilan yang memasuki aliran Sungai Labu, di Sepang, semalam.
Menerusi hantaran di Facebook, LUAS berkata, pemantauan di Sungai Labu, Sepang susulan penemuan kesan minyak di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) masih dalam keadaan terkawal.
Katanya, sehingga jam 11.30 malam tadi pihaknya merekodkan bacaan kosong ton di lokasi.
“Langkah proaktif juga diambil iaitu menambah sebanyak enam beg ‘activated carbon’ (AC) di lokasi longkang terbabit di kawasan Negeri Sembilan bagi membantu meningkatkan nyah bau.
“Pasukan LUAS terus berada di lapangan memantau rapi situasi semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini.
Semalam, dilaporkan insiden bermula daripada tumpahan minyak atas jalan raya di Kota Seriemas, Negeri Sembilan yang memasuki aliran sungai terbabit dan mengalir masuk ke kawasan negeri ini.
Kemudian, kesan minyak ditemui di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu menyebabkan Kod Kuning mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan, jam 7.45 pagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.