![](https://media.buletintv3.my/2025/02/NASUTION.jpg)
GEORGE TOWN: Siasatan insiden tembakan yang mengorbankan nyawa warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu pada 24 Januari, merangkumi semua aspek termasuk prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dalaman juga dijalankan untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran undang-undang oleh pasukan penguat kuasa ketika berdepan ancaman terhadap keselamatan dan nyawa mereka.
“Mereka terdedah kepada (situasi) mengancam nyawa, terutama pada jam 3 pagi di tengah samudera yang gelap. Jadi semua itu, kalau kita posisikan diri kita, kita akan faham bahawa ia adalah satu bentuk strategi, tetapi harus ikut prosedur termasuk penggunaan senjata api dan sebagainya.
“Sebab radar mengesan aktiviti yang mencurigakan dan daripada sudut prosedur lain, misalnya kerana ia melibatkan ada yang cedera, ada yang maut itu (maka) dilakukan dua peringkat siasatan.
“Pertama siasatan dalaman oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga sedang berlangsung dan kedua, siasatan polis kalau terdapat pelanggaran undang-undang dalam menjalankan tugas,” katanya selepas merasmikan Sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Sebelum ini laporan mendakwa kejadian pada 24 Janurai lalu itu berpunca sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang didakwa mencetuskan provokasi terhadap pegawai penguat kuasa Malaysia, dengan sehingga kini dua disahkan maut dan tiga lagi cedera.
Bukti menunjukkan bot Maritim Malaysia dirempuh bot suspek dengan pihak berkuasa menemukan dua bilah parang di atas bot warga Indonesia terbabit.
Kerajaan Indonesia menggesa Malaysia mengambil tindakan tegas sekiranya pegawai Maritim Malaysia menggunakan kekerasan melampau dalam kejadian itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.