Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tembakan melibatkan warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, baru-baru ini.
Siasatan turut merangkumi enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata selain siasatan polis, APMM juga menjalankan siasatan dalaman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960. Senjata api tidak boleh digunakan kecuali atas sebab-sebab tertentu.
“Mereka adalah anggota yang bertugas pada hari kejadian, dan terdapat penggunaan senjata api,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Sementara itu, beliau memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional.
Saifuddin turut memaklumkan bahawa tembakan disasarkan ke bahagian enjin bot asing selepas tembakan amaran ke udara tidak diendahkan.
Dalam kejadian awal pagi 24 Januari lalu, seorang maut manakala empat lagi warga Indonesia cedera dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting, Kuala Langat.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika sepasukan anggota APMM melakukan rondaan dan bertembung dengan sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin keluar dari perairan negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.