Tumpuan :
Nasional

Insiden kuari runtuh, tiada unsur kecuaian majikan

Lokasi kejadian runtuhan kuari batu kapur yang mengorbankan seorang pekerja warga asing di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai. – Foto ihsan JBPM


IPOH: Tiada keperluan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kerja pengoperasian kuari kerana yang sedia ada sudah memadai.

Hasil siasatan awal yang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak berkenaan insiden kuari runtuh di Keramat Pulai, Simpang Pulai di sini, terdapat empat pekerja termasuk mangsa di lokasi kejadian membabitkan mangsa sebagai pemandu jengkaut, serta tiga rakan sekerja lain termasuk seorang ‘spotter’ (pengesan) yang berperanan meninjau keadaan sekeliling.

EXCO Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, semasa kejadian ‘spotter’ yang berada di kawasan peninjau mendapati terdapat pergerakan batu-batu kecil dan memberi amaran melalui alat komunikasi ‘walkie-talkie’ kepada tiga pekerja termasuk mangsa yang sedang melakukan kerja agar segera beredar.

Katanya, tiga pekerja iaitu mangsa, pemandu lori, dan pemandu ‘breaker’ kemudiannya keluar dari jentera masing-masing dan berlari ke tempat selamat, namun mangsa bagaimanapun berpatah balik semula ke jengkaut yang dikendalikan kerana dikatakan tertinggal barangan peribadi.

“Ketika mangsa berpatah balik ke jengkaut dikendalikannya, tiba-tiba batuan di permukaan kuari runtuh dengan banyak lalu menimpa tiga jentera terbabit dengan mangsa yang maut di tempat kejadian dijumpai tersepit di bawah jengkaut yang dikendalikannya.

“Apa yang boleh dirumuskan daripada laporan awal ini, mengapa mangsa berpatah balik ke jengkaut dikendalikannya itu, sedangkan tiada arahan dikeluarkan.

“Jadi buat masa ini kita tidak dapat tuduh siapa yang cuai di sini. Adakah syarikat? Tetapi saya tak nampak kecuaian majikan di sini,” katanya kepada pemberita sewaktu meninjau kawasan kuari berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, JKKP Perak telah mengeluarkan arahan kepada majikan untuk menghentikan kerja-kerja pengoperasian kuari hanya di lokasi runtuhan batu itu sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh majikan.

Menurutnya, laporan penuh siasatan dijangka diperoleh dalam tempoh sebulan.

Perak mencatatkan sembilan kes kemalangan maut di tempat kerja membabitkan sektor kuari dicatatkan sepanjang tujuh tahun bermula 2017, meliputi dua kes pada 2017, 2019 (2 kes), 2022 (2 kes), dan 2023 mencatatkan tiga kes.

Artikel berkaitan: Pekerja tertimbus kuari batu kapur runtuh

Loading...
Terkini