Oleh: Fahmi Tajuddin
KAPAR: Dua buah Sekolah di Meru diarah tutup melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Meru dan Sekolah Rendah Agama (SRA) II susulan insiden kebakaran dua bangunan kilang cat yang berlaku di Taman Perindustrian Meru pada awal pagi Isnin.
Perkara itu disahkan oleh Pegawai Bomba Kanan II (Komander Operasi Kanan) PBK II Nurul Azman Muhammadan.
“Saya sudah mendapat makluman sekolah tersebut diarahkan tutup atas faktor keselamatan.
“Sekitar jam 7 pagi tadi, guru-guru dan murid-murid telah diarahkan pulang susulan sesi dibatalkan,” katanya ketika dihubungi oleh Buletin TV3.
Difahamkan sewaktu awal kebakaran berlaku di kilang berkenaan. Kawasan kedua-dua sekolah itu dilitup dengan asap menebal yang membawa bahan kimia hasil daripada kebakaran kilang cat berkenaan.
Ketika ini, operasi memadam kebakaran masih lagi dijalankan.
Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 pagi.
Seramai 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, BBP Bukit Jelutong, BBP Andalas, BBP Klang Utara, BBP Pelabuhan Klang, BBP Klang Selatan, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong, BBP Rawang, BBP Pulau Indah BBP Damansara dan BBP Kuala Lumpur dikerahkan ke lokasi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.