KUALA LUMPUR : Sumber air mentah ke muka sauk LRA Rantau Panjang berjaya disalurkan semula pada jam 1.30 pagi (12 Februari 2023) dan ke muka sauk LRA SSP1, SSP2 serta SSP3 pada jam 2.15 pagi (12 Februari 2023) setelah bacaan 0 ton direkodkan sebanyak 3 kali berturut.
Menurut laman Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Insiden ini berjaya dikawal segera dengan penyaluran air mentah daripada HORAS 600 dan kolam alternatif KL Larut yang meningkatkan pencairan sungai serta aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk dengan cepat.
Penutupan sementara muka sauk kesemua 4 LRA berkaitan adalah sekitar 4 jam yang turut mengakibatkan henti tugas sementara LRA untuk tujuan kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan kesan pencemaran yang lebih teruk kepada sistem LRA.
Hasil semakan awal di keseluruhan lembangan Sg. Selangor, permasalahan pencemaran bau tersebut dikenal pasti berkaitan bau tumpahan minyak dari aktiviti jentera berat (diesel).
Siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi memastikan permasalahan ini diselesaikan sepenuhnya di lapangan berkaitan. Sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Sebelum itu dalam satu kenyataan awal LUAS berkata, 1,337 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau diesel yang dikesan di muka sauk LRA Rantau Panjang, Bestari Jaya, Kuala Selangor.