Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA SELANGOR: Penduduk Taman Seri Alam, di sini mendesak pemaju yang bertanggungjawab terhadap kolam takungan air berhampiran kawasan perumahan itu selepas ia pecah dan menyebabkan banjir kilat semalam.
Desakan itu dibuat setelah kejadian banjir kali kedua itu menjejaskan hampir 200 unit rumah kediaman berhampiran petang semalam.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Sazalie Basran mendakwa insiden itu bukan kali pertama kerana kejadian sama pernah berlaku pada Disember 2015.
Katanya, penduduk meminta pihak terbabit untuk menutup kolam berkenaan memandangkan ia boleh mendatangkan pelbagai risiko dan ancaman kepada penduduk.
“(Kejadian ban pecah) yang pertama pada tahun 2015, kemudian struktur ini telah dibina. Selepas lebih kurang 10 tahun, struktur ini mengalami keretakan.
“Hujan lebat daripada September lepas, banyak air keluar daripada dinding, pihak kami telah dapat kesan dan kita buat aduan secara rasmi dan bertulis kepada pihak majlis dan kepada pihak ini (pemaju) supaya dibuat pembetulan.
“Maka mereka telah membuat pembetulan dengan konsultan pihak merekalah yang mengatakan struktur kali ini berkemungkinan tidak akan berlaku pecahlah,” katanya.
Dakwa Sazalie, pihak penduduk telah mempersoalkan kaedah pembinaan yang dibuat pihak pemaju dua bulan lalu dengan menyatakan ia berkemungkinan akan pecah.
Pun begitu, penduduk mendakwa pihak pemaju memberikan jaminan kepada mereka bahawa insiden berkenaan tidak akan berlaku lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Ismail Idris memaklumkan majoriti penduduk tidak sempat menyelamatkan kenderaan dan harta benda ekoran air naik secara mendadak.
“Dalam jam 3.45 petang macam itu, kalau kita tengok tembok (atau) dinding itu pecah terus, jadi bila pecah tu satu air kolam takungan ni melimpah masuk ke dalam Taman Seri Alam lah.
“Bila masuk Taman Seri Alam ini, dia jadi macam tsunami kecil bagi kami ni lah kan jadi kebanyakkan penduduk tidak bersedialah dengan keadaan ini (dan) banyak kemusnahan (seperti) kereta, harta benda dalam rumah apa semua, tak sempat nak alih.
“Jangka masa air melimpah keluar (dari kolam ke dalam rumah) tak sampai 5 minit, dalam 5 minit ja terus air masuk dalam rumah, jadi barang dalam rumah memang banyak yang rosak lah,” katanya.
Selain itu, seorang penduduk, Ir. Pudzil Mohd Daus berkata, insiden tersebut juga berkemungkinan berlaku susulan binaan tembok yang tidak mampu menampung tekanan hidrostatik
“(Kejadian) yang ini adalah kali kedua banjir besar melibatkan ban pecah kali pertama berlaku pada 4 Disember 2015 dan kali kedua ini 29 Disember 2024. Jadi, masing-masing berlaku pada bulan Disember lah.
“Pemerhatian yang kita nampak di tapak sekarang daripada segi pematuhannya dibawah kelulusan majlis memang telah kita difahamkan telah mematuhi dari segi faktor kejuruteraannya. Tapi apa yang kita nampak, kalau kata patuh benda ini tak pecahlah. Mungkin dari segi kapasiti airnya, keluasan kolamnya tu mencukupi.
“Sekarang ni yang kita nampak faktor utamanya adalah kekukuhan tembok itu sendiri lah yang telah roboh yang tak mampu menahan tekanan air ataupun tekanan hidrostatik daripada air kolam yang telah menumbangkannya.Jadi itu yang mungkin kita nampak secara visualnya faktor yang berlakulah,” katanya kepada Buletin TV3.
Rundingan dan perbincangan telah berlangsung selama lebih satu jam antara penduduk dan pemaju yang bertanggungjawab hari ini masih belum menemui kata putus.
Ahli Majlis Zon 23 Saujana Utama, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Maisarah Ismail memaklumkan permintaan penduduk terhadap pihak pemaju masih belum boleh didedahkan ekoran wakil pemaju yang dihantar tidak dapat membuat keputusan.
Katanya, permintaan penduduk untuk menutup kolam terbabit juga perlu diberikan keutamaan.
“Kami masih menunggu (jawapan daripada pemaju) kami telah meminta satu jumlah tapi kita tidak boleh bagitahu terlbih dahulu buat masa ini sebab ia masih dalam fasa rundingan.
Kemudian kita tidak akan kompromi, pasal diskaun kita tidak akan kompromi. Kehendak penduduk untuk tutup kolam ini dia (pemaju) kena bagi keutamaan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, rundingan yang dibuat juga mengambil kira kerugian dan kerosakan yang terpaksa ditanggung penduduk.
Banjir kira-kira dua jam petang semalam itu menyebabkan ada penduduk yang terpaksa menanggung kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.
Semalam sebuah kolam takungan bersebelahan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh pecah dan menjadi punca limpahan air keluar ke kawasan perumahan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5.15 petang semalam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.