Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Pasukan sukarelawan dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh diarah turun padang meninjau situasi terkini dan membantu penduduk yang memerlukan bantuan segera.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pasukannya akan sentiasa memastikan kebajikan penduduk di kawasan itu terbela.
“Petang semalam, saya terkejut apabila menerima makluman berkaitan kejadian benteng takungan air yang pecah sehingga menyebabkan banjir kilat di Taman Seri Alam.
“Berdasarkan maklumat, lebih 50 rumah telah terjejas akibat insiden ini dan saya telah mengarahkan pasukan sukarelawan dari Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh untuk turun padang meninjau situasi terkini dan membantu penduduk yang memerlukan bantuan segera.
“Pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh akan sentiasa berusaha dalam memastikan kebajikan penduduk terjaga dan langkah-langkah susulan diambil bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang selepas perbincangan dengan pemimpin komuniti dan agensi berkaitan,” katanya menerusi hantaran itu.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat dengan insiden berkenaan, selain merakamkan penghargaan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang berkaitan atas tindakan pantas dalam menghulurkan bantuan bagi meringankan beban penduduk yang terjejas.
Terdahulu, sebuah kolam takungan bersebelahan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh pecah dan menjadi punca limpahan air keluar ke kawasan perumahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.