![](https://media.buletintv3.my/2024/02/GY1-scaled.jpeg)
KUALA LUMPUR: Berita baik kepada ahli jawatankuasa masjid dan surau serta ahli kariahnya yang terletak di Wilayah Persekutuan.
Setiap enam masjid atau surau di Wilayah Persekutuan yang mencapai kebersihan tandas bertaraf lima bintang akan menerima insentif sebanyak RM20,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata insentif itu adalah untuk program keilmuan serta pembangunan dan penyelenggaraan bagi masjid atau surau yang mengikuti Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau bertaraf lima bintang peringkat Wilayah Persekutuan yang dilancarkan hari ini.
“Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas dan Surau Bertaraf 5 Bintang Peringkat Wilayah Persekutuan ini amat besar maknanya untuk kita menyerlahkan qudwah kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Mohd Na’im berkata masjid dan surau perlu memberikan contoh terbaik dalam aspek kebersihan selain Islam harus diserlahkan sifatnya yang menjulang tinggi nilai rahmah dan dakwah.
“Inilah usaha Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memulakan usaha ini di Wilayah Persekutuan. Semoga ia memberikan kebaikan dan manfaat kepada semua pihak,” katanya. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.