comscore
Tumpuan :
Nasional

Insentif Pengeluaran Getah naik kepada RM2.70

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram, dengan peruntukan berjumlah RM350 juta bagi membantu pekebun kecil yang terbabit dalam sektor getah.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataannya berkata, IPG diperkenalkan sejak 2015 dan sehingga kini, sebanyak RM446 juta sudah diagihkan kepada 207,128 pekebun kecil di seluruh negara.

Kementerian itu turut memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), yang membolehkan pekebun getah menerima insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

Selain itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga menambah baik proses pembayaran bantuan IPG dan IPL, yang mana pembayarannya dibuat secara terus ke akaun bank pekebun tanpa perlu mereka membuat permohonan secara manual mulai 1 Januari 2021.

“Merujuk kepada laporan bertajuk ‘Tiada lagi hasil getah Malaysia?’ disiarkan Berita Harian, yang menyentuh mengenai harga getah rendah dan berterusan tidak stabil, KPK menegaskan bahawa kerajaan sentiasa komited membantu pekebun kecil, khususnya yang terbabit dalam sektor getah.

“Harga produk ini ditentukan permintaan dan penawaran antarabangsa, selain faktor lain yang mempengaruhi harga getah asli seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia,” katanya.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan, isu harga rendah dan tidak stabil, ketiadaan generasi pelapis serta kebergantungan kepada buruh asing masih membelenggu sebahagian besar pekebun getah di negara ini sehingga dibimbangi masa depan pengeluaran komoditi ini terus suram.

Daripada status sebagai pengeluar utama dunia getah suatu ketika dahulu, Malaysia kini berada pada kedudukan ketujuh pengeluar getah asli terbesar di belakang Thailand, Indonesia, Vietnam, India, Ivory Coast dan China.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH), Mohd Taufik Yaacob, dilaporkan berkata berikutan masalah berterusan dialami pekebun getah, adalah tidak mustahil pada suatu masa tanaman itu tidak lagi diusahakan penduduk, terutama pekebun kecil di luar bandar.

Selain itu, KPK menyebut, bagi menghadapi cabaran kekurangan buruh asing dan menarik minat generasi pelapis dengan industri itu, LGM memperkenalkan konsep pembangunan getah secara berkelompok.

“Kolaborasi strategik antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta diperkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, selain dapat menarik minat generasi pelapis untuk menceburi industri getah.

“Projek ini yang dikenali sebagai Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dijangka bukan sahaja membantu golongan muda, malah memberi pulangan yang baik kepada pekebun kecil getah,” katanya.

Kementerian itu menambah, kerajaan juga tidak ketandusan teknologi baharu dalam membangunkan industri getah negara.

Katanya, LGM mengambil inisiatif dalam menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk penghasilan klon getah berkualiti tinggi dan produk berasaskan getah yang bernilai tambah.

Pada masa sama, KPK menyebut, pihaknya sentiasa mengalu-alukan cadangan dan saranan diutarakan pelbagai pihak untuk meningkatkan industri getah negara.

Loading...
Terkini