comscore
Tumpuan :
Nasional

Inovasi Produk Kesihatan Dihasilkan Pelajar UKM

BANGI: Sekumpulan saintis dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia yang dianggotai Iqmal Faiz, Mathanishan Chandran dan diketuai Prof Dr Mohamad Azwani Shah telah berjaya menemukan inovasi terbaharu iaitu coklat berfungsi berasaskan herba unik dari Sarawak, kacangma yang berpotensi melegakan kekejang otot atau senggugut dan masalah kelancaran haid bagi wanita.

Coklat inovasi UKM berasaskan herba Sarawak ini bukan sahaja merupakan yang pertama di Malaysia malah di dunia. Coklat tersebut telah dibangunkan menggunakan herba tradisional masyarakat Sarawak yang dikenali sebagai kacangma atau nama saintifiknya Leonurus Cardiaca L.

Herba ini telah digunakan oleh masyarakat di Sarawak sejak berkurun lamanya dalam bentuk teh ataupun sup yang dimasak bersama ayam. Hidangan itu bukan sahaja disajikan dalam menu harian, malah ia turut menjadi pilihan utama bagi ibu yang sedang berpantang. Masyarakat setempat percaya bahawa herba ini mampu mempercepatkan proses pemulihan post-natal, melancarkan peredaran darah serta menjana semula tenaga bagi ibu yang berpantang.

Pelbagai kajian terdahulu telah membuktikan bahawa Leonurus cardiaca L. mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi, termasuklah flavonoid, sterol, triterpena dan tannin. Selain itu kajian tersebut turut melaporkan bahawa pengambilan herba ini dapat membantu dalam melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan akibat kekejangan otot semasa haid, mengurangkan ketidak seragaman ritma jantung serta mengurangkan stress dan kecelaruan keresahan (anxiety).

Menurut Prof Dr Mohamad Azwani, “bagi menghasilkan satu formulasi yang terbaik, kajian ini telah mengambil masa lebih daripada 2 tahun”.

Selain itu, umum turut mengetahui bahawa coklat kaya dengan kandungan vitamin seperti A, B1, C, D, E, ferum dan kalsium. Kandungan magnesium dalam coklat juga mampu meningkatkan paras serotonin dalam badan. Adalah dipercayai rembesan serotonin mampu memberikan kelegaan kepada badan malah menghasilkan mood gembira.

Hari ini, hanya terdapat satu penyelesaian di pasaran bagi mengatasi masalah kesakitan senggugut yang dialami oleh wanita iaitu ubat sintetik penahan sakit. Berdasarkan kajian terdahulu, telah dilaporkan bahawa jika dadah sintetik diambil secara berkala setiap bulan dan berterusan sehingga satu tempoh sebelum menapous, ia boleh memberi satu kesan jangka panjang yang melibatkan organ utama seperti buah pinggang, hati, jantung dan boleh mengganggu kelancaran peredaran darah.

Oleh yang demikian, kumpulan kajian inovasi UKM menawarkan alternatif berasaskan makanan super yang organik, berkhasiat, berfungsi malah enak dimakan.

Loading...
Terkini