Tumpuan :
Nasional

Inisiatif wujudkan semula PLKN 3.0 pupuk kematangan golongan muda – MBM

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Inisiatif mewujudkan kembali Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mendapat reaksi positif pelbagai pihak yang melihat program berkenaan secara tidak langsung dapat membina jati diri sekali gus memupuk kematangan peserta terlibat.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Hasnul Haniff Harun berkata, mekanisme berkenaan dilihat membantu membentuk jati diri disamping memupuk nilai kewarganegaraan golongan muda.

Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Hasnul Haniff Harun

“Mereka yang terlibat.. secara khusus pastinya akan diberikan latihan yang intensif untuk menjadi seorang warganegara yang baik, dan seterusnya mampu menggerakkan rakan rakan mereka yang lain dalam aspek kepimpinan,” katanya ketika dihubungi BuletinTV3.

Jelasnya langkah kerajaan membuka peluang pekerjaan bagi mereka yang telah menamatkan latihan untuk menyertai badan beruniform juga usaha yang baik mengurangkan kos pengangguran dalam kalangan belia.

“MBM melihat dengan perlaksanaan PLKN 3.0 ini pastinya ia akan memberikan semangat yang baharu kepada remaja dan anak anak muda khususnya .

“Sekiranya anak-anak muda ini tidak dipersiapkan dengan kepimpinan dan latihan, ia dapat menyumbang kepada kadar pengangguran di negara.

“Justeru latihan intensif seperti kewarganegaraan, disiplin dan kepimpinan yang tinggi secara tidak langsung mampu mengurangkan jurang itu,”ujarnya.

Sementara itu, seorang ibu Nur Aainaa Mohd Rasid,37, ketika ditemui berkata latihan berkenaan perlu diwujudkan kembali untuk membina kekuatan mental mahupun fizikal, di samping memupuk rasa cinta kepada negara dalam kalangan anak-anak.

“Sebagai salah seorang peserta PLKN dahulu, program seperti ini sebenarnya dapat membina keyakinan diri yang mana kita diberikan latihan diri seperti berkawad…dan apabila saya ‘dicampak’ mana-mana pun insyaAllah bertahan disebabkan program sebegini yang mendidik jati diri untuk lebih kuat,” ujarnya.

Megat Affzan Azmi,32, juga berpendapat usaha berkenaan mampu membantu mengurangkan kadar pengganguran yang kian membimbangkan ketika ini.

“Ia dilihat mampu membantu mengurangkan kadar pengangguran, namun jika ditambah lagi dengan satu kursus latihan intensif amali yang lain akan memberi impak yang lebih baik.

“Bukan sahaja latihan ketenteraan namun diselitkan juga latihan amali seperti automotif dan kemahiran yang lain,” katanya.

Loading...
Terkini