KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak inisiatif memaparkan sejarah, lagenda dan mitos tempatan yang menjadi antara warisan penting negara diwujud dan disemarakkan untuk tontonan umum.
Perdana Menteri berkata, usaha sedemikian berupaya memantapkan sektor pelancongan negara, di samping menghidupkan minat masyarakat untuk mendalami mitos, lagenda dan sejarah tanah air.
Mengambil contoh Pulau Langkawi di Kedah, beliau berkata, pusat peranginan popular itu tidak hanya dikenali sebagai sebuah pulau indah, tetapi penuh dengan kisah dan warisan yang patut ditelaah serta digarap generasi kini dan akan datang.
“Saya usulkan supaya juga ditambah dengan memberi gambaran hala tuju Langkawi dan teknologi baru,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri ketika ini berada di Pulau Langkawi, meluangkan masa bercuti bersama keluarga, selain turut dijadual menghadiri beberapa program bersama masyarakat setempat.
Mengulas lanjut, Anwar yang Menteri Kewangan menzahirkan rasa kagum dengan bakat kreatif yang ditonjolkan di Dream Forest, Langkawi, sebuah kawasan hutan belantara yang dilengkapi dengan pemetaan visual dan gabungan ritma.
“Projek ini berjaya mengetengahkan keunikan Pulau Langkawi dengan cara yang begitu berkesan, selain memaparkan lagenda dan mitos tempatan yang menjadi antara sebahagian penting warisan negara.
‘Saya sudah menghubungi Tan Sri Fendi (Tan Sri Mohd Effendi Norwawi) dan Puan Sri Tiara (Jacquelina) untuk menyampaikan penghargaan atas usaha hebat mereka dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.
Dream Forest Langkawi yang terletak di kaki Gunung Raya menghidupkan pelbagai kisah lagenda yang dikaitkan dengan Langkawi seperti Tasik Dayang Bunting, Merong Maahawangsa dan Gergasi Langkawi.
Ia turut menyajikan sebuah pentas bayangan yang peka dengan kelestarian alam semula jadi disamping menggunakan pencahayaan tinggi di seluruh alam magika itu, namun mempromosikan pencahayaan cekap tenaga bagi mengurangi pelepasan karbon.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.